UMPSA terima 2 kenderaan Proton X50 manfaat buat pengajaran dan pembelajaran
PEKAN, 13 Jun 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima suntikan baharu dalam usaha memperkasa pengajaran dan pembelajaran berteraskan teknologi automotif apabila menerima sumbangan dua unit kenderaan Proton X50 daripada syarikat pengeluar kereta nasional, PROTON baru-baru ini.
Penyerahan rasmi kenderaan tersebut telah diadakan bersempena dengan Majlis Hari Kualiti dan Inovasi (HKI) UMPSA 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, UMPSA Pekan.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA , Profesor Dr. Yatimah Alias menerima replika kenderaan daripada Naib Presiden, Sumber Manusia dan Pentadbiran PROTON, Amran Mohd Tomin.
Hadir sama Pendaftar, Dato‘ Saiful Bahari Ahmad Bakarim, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA),Profesor Dr. Mahadzhir Ishak@Muhammad.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, sumbangan ini merupakan antara komitmen PROTON dalam menyokong pembangunan pendidikan tinggi negara dan memperkukuh hubungan strategik antara industri serta institusi akademik.
“Kenderaan ini akan digunakan sebagai alat bantu mengajar di FTKMA, khususnya dalam kursus-kursus berkaitan teknologi kenderaan pintar, sistem elektrikal automotif dan teknologi automasi moden.
“Sumbangan ini bukan sahaja memperkasa ekosistem pembelajaran berasaskan industri, malah selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan TVET berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan sektor automotif dan mobiliti masa hadapan.
“UMPSA mempunyai jaringan kolaborasi strategik dengan PROTON terutamanya yang melibatkan Pembelajaran Berasaskan Kerja atau Work Based Learning (WBL) iaitu pendekatan pembelajaran yang mengabungjalinkan pembelajaran di universiti dengan pembelajaran di industri bagi mewujudkan pengalaman bersepadu (teori dan praktikal) kepada pelajar UMPSA,” ujarnya.
Malahan katanya, kerjasama ini turut melibatkan perkongsian kepakaran dan percambahan ilmu selain melahirkan graduan yang cekap serta profesional dalam industri automotif membabitkan bidang teknikal serta kejuruteraan automotif.
“Selain itu ia juga bagi mewujudkan gandingan aktiviti dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) inovatif yang berkaitan dengan industri kenderaan, termasuk mengadakan program pertukaran penyelidik, pakar akademik dan pelajar.
“Sumbangan daripada PROTON ini sangat bermakna buat UMPSA kerana ia memberikan akses langsung kepada pelajar untuk mempelajari dan memahami teknologi automotif terkini secara praktikal.
“Ia juga merupakan contoh sinergi terbaik antara dunia industri dan akademia dalam memperkasa pembangunan modal insan negara,” tambahnya.
Jelas beliau lagi, dengan adanya kenderaan ini, diharapkan pembelajaran dapat dijalankan secara praktikal dan pelajar lebih memahami teknologi automotif terkini PROTON yang terdapat dalam X50.
“Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi UMPSA dalam membangunkan tenaga pakar dalam bidang Automotif selaras dengan keperluan industri semasa ke arah merealisasikan agenda UMPSA dalam menjadi ASEAN Advanced TVET Hub pada masa akan datang,” katanya.
Manakala menurut Amran yang juga dilantik sebagai Profesor Adjung di FTKMA menyatakan bahawa pihaknya komited untuk terus menyokong inisiatif pembangunan pendidikan negara melalui perkongsian kepakaran, teknologi dan peluang latihan industri.
Pihaknya percaya kolaborasi ini juga dapat membantu pelajar mendalami aspek praktikal kejuruteraan automotif serta membina minat terhadap teknologi hijau dan kenderaan pintar termasuklah pembangunan bakat baharu dalam industri ini.
Sumbangan dua unit Proton X50 ini sekali gus memperkukuh komitmen UMPSA untuk kekal relevan dan dinamik sebagai universiti teknikal bertaraf dunia serta mencerminkan peranan penting sektor industri dalam memperkasa ekosistem pembelajaran tinggi negara.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 88 views